Hari Keluarga di Agrofarmstay@Skilltech,Durian Tunggal,Melaka | Interaksi bersama alam semulajadi, itulah yang anda akan alami apabila melangkah kaki ke kawasan Agrofarm@Skilltech yang terletak lebih kurang 7 batu dari Pekan Durian Tunggal,Melaka. Terletak di tanah berkeluasan lebih 30 ekar, di kelilingi bukit dan tanah rata, keindahan dan kehijauan alam pastinya menenangkan percutian anda. Kemudahan yang di sediakan juga bersesuaian untuk sebarang aktiviti seperti seminar, kursus motivasi, hari keluarga, perkhemahan serta jungle trekking.



Kesempatan berkunjung ke sini bersama kawan-kawan bloggers dari Kelab Blogger Ben Ashaari pada 19-21 September 2014 lalu meninggalkan kenangan manis bagi kami. Dengan layanan terbaik dari staf Agrofarm ni, hari keluarga kali ini benar-benar menyeronokkan kawan-kawan blogger dan ahli keluarga mereka. Memang tak rugi pilihan Agrofarm ini sebagai lokasi hari keluarga kami.


Ketibaan kami di sambut mesra oleh pemilik Agrofarm ini sendiri iaitu Encik Ahmad Bashiruddin Bin Kulop Othman dan isterinya Sharimah Hussain serta anak mereka En Abdul Bari yang bertindak sebagai pengurus Agrofarm ini. Kami di beri taklimat ringkas tentang Agrofarm dan kemudahan yang di sediakan, sebelum di jamu dengan menu makan malam ala kampong di dewan terbuka.

Agrofarm ini menyediakan kemudahan penginapan yang sangat sesuai untuk semua program,antaranya villa 7 bilik di atas bukit berkonsepkan senibina “Tudor Inggeris”, di hiaskan perabut jati asli yang di bawa khas dari Indonesia. Villa ini sangat selesa untuk penginapan keluarga besar dengan kemudahan ruang keluarga yang besar, ruang dapur dan meja makan yang luas, konsep gazebo di dalam, kemudahan memasak yang lengkap, parkir kereta berbumbung, semua bilik mempunyai penyaman udara serta tv dengan kemudahan Astro.


Selain villa, Agrofarm ini juga menyediakan penginapan ala dorm dengan katil ‘double decker ‘ dan semua bilik mempunyai penyaman udara. Terdapat juga bilik Twin dan Double Beds untuk pasangan.Chalet juga di sediakan yang mana sesuai untuk pelajar-pelajar yang datang untuk kem motivasi atau peserta kursus.


Selain dari penginapan yang sangat selesa, Agrofarm juga menyediakan kemudahan seperti Dewan seminar, Surau terbuka, Bilik seminar, Bilik karaoke, Kolam Renang, Ruang BBQ, Dewan makan, Kawasan perkhemahan dan Bussines Centre yang menempatkan computer, printer dan akses internet serta kemudahan wifi.

Sepanjang di sini, makanan yang di hidangkan pastinya memenuhi selera kami, khabarnya makanan di masak sendiri oleh staf Agrofarm tersebut. Hidangan menu masakan kampung pastinya membuatkan masing-masing kekenyangan, asam pedas Melaka, ayam masak kurma, ulaman, sambal, memang sedap masakannya. Sarapan pagi pula dengan nasi lemak homemade, roti canai, laksam, nasi goreng serta kuih-muih. Malam kedua kami di hidangkan dengan makan malam ala BBQ, pastinya di bakar sendiri oleh staf di situ, hidangan segar ayam bakar, sotong, ikan pastinya membuka selera kami, di tambah hidangan ala western di padankan pula dengan pencuci mulut, puding, buah-buahan tempatan serta tart, pastinya tiada yang mahu ketinggalan makan malam.


Hari keluarga kami di serikan lagi dengan aktiviti menarik di Agrofarm ini yang pastinya memberi seribu kenangan untuk di bawa pulang. Acara sukaneka di sebelah pagi, sangat meriah dengan berbagai gelagat lucu peserta. Acara cari gula-gula dalam tepung, belon air, isi air dalam botol, tiup belon, kepit kelapa dan bola dalam sudu yang di jalankan sangat menyeronokkan dan merapatkan lagi hubungan ukhuwah sesame kami. Riuh-rendah gelak ketawa anak-anak dan ibu bapa memberikan suatu momen yang sihat dalam hubungan kekeluargaan dan silaturrahim.


Petangnya pula kami di bawa mengelilingi Agrofarm tersebut dalam aktiviti Farm Tour, antaranya melawat Pet House atau mini zoo yang menempatkan kuda, kambing, spesis itik, beberapa spesis arnab, burung merak, puyuh, beberapa spesis ayam dan landak. Pengunjung di beri peluang menyentuh dan memegang sendiri haiwan tersebut, malah staf di situ memberi penerangan tentang haiwan-haiwan ini.


Lawatan ke ladang lembu, tanaman herba pastinya memberi ilmu bukan sahaja kepada anak-anak, malah yang dewasa juga. Pokok buah-buahan seperti durian, nona, pokok kurma, belimbing, durian belanda dan petai pastinya membuahkan hasil dan boleh di nikmati pengunjung, malangnya sewaktu kami di sini, bukan musim buah-buahan. Antara tanaman herba pula adalah Misai Kucing, Hempedu Bumi, Tongkat Ali, Pandan  Wangi, Setawar  Halia, Kacip Fatimah dan Pokok Dukung Anak, terdapat juga tanaman pokok gaharu di sekitar kawasan ini.

Ladang lembu yang terdapat di Agrofarm ini juga menyediakan lembu-lembu untuk ibadah korban atau di jual untuk majlis perkahwinan. Selain lembu, kolam ikan yang terdapat di sini juga membenarkan pengunjung memancing dengan syarat ikan yang dapat di kenakan bayaran lebih kurang RM10 serta boleh di masak di sini jika mahu.


Menghabiskan masa tenang di waktu petang di tepi tasik yang di beri nama Kolam Kacang sangat menenagkan sambil menikmati pisang dan cempedak gireng panas-panas dari dapur serta minuman panas, terasa benar-benar di kampung. Sambil itu yang mana ingin berkayak boleh berbuat demikian di tasik itu, peralatan di sediakan sememangnya cukup lengkap, perkhidmatan bot juga di sediakan.Salah seorang antara kami di beri peluang membawa sendiri bot mengelilingi tasik tersebut, pastinya itu menjadi pengalaman bermakna baginya.

Malam terakhir kami di sini, bilik karaoke di sediakan untuk kami bersantai bersama – sama, walau suara tidaklah sampai tahap artis professional, namun sesekali acara begini dapat juga menghiburkan hati sendiri. Namun ada juga yang professional di antara kami memang tidak melepaskan peluang berkaraoke di dalam ‘lounge karaoke’ berbentuk kasut ini.Ruangan dalamnya sangat selesa dengan mini bar dan sofa empuk.

Kunjungan 3 hari 2 malam kami di sini sudah berakhir, dan pastinya kami pulang dengan kenangan manis dan ilmu alam berguna yang dapat di pelajari di sini. Pastinya Agrofarm ini sesuai untuk semua lapisan usia dan sebarang aktiviti boleh di jalankan di sini. Terima kasih Agrofarmstay @ Skilltech Durian Tunggal, pastinya Kelab Blogger Ben Ashaari akan berkunjung lagi.



Yang Perlu Anda Tahu :

Agrofarmstay@Skilltech,Durian Tunggal,Melaka :


Laman Web : www.agrofarmstay.my


No Telefon : 012-2118246/016-2098623



Kelab Blogger Ben Ashaari :





No Telefon : 019-3455317 / 010-2133402

testing

TEST